ANDA TAHU DI TERENGGANU JUGA ADA LAKSA? July 27, 2020 – Posted in: Uncategorized

Anda biasa makan laksa? Laksa bukanlah makanan yang asing bagi masyarakat di Malaysia, cuma setiap negeri pasti ada keistimewaannya yang tersendiri. Begitu juga dengan laksa di Terengganu, ada sedikit kelainan yang anda perlu tahu.

Di Terengganu, laksa boleh dikatakan makanan yang mudah didapati sama ada di pasar atau di kedai-kedai makan, terutamanya di sebelah pagi kerana ia menjadi salah satu makanan kegemaran untuk sarapan pagi bagi kebanyakan penduduk di negeri ini.

Cuma anda jangan pelik pula kalau datang ke rumah kawan di Terengganu dan dihidangkan juadah laksa di pagi hari ya! Kami di Terengganu sudah menjadi satu kebiasaan untuk bersarapan dengan laksa.

Kalau di negeri lain mungkin laksanya dimakan dengan kuah ikan yang berwarna merah sahaja, kan? Tapi di Terengganu pula, laksa dihidangkan dengan dua jenis kuah iaitu kuah masak (warna merah) dan kuah mentah (warna putih).

Tambah pula, istimewanya laksa Terengganu ini terletak pada kuahnya yang menggunakan isi ikan yang banyak. Ikan yang digunakan pula kebiasaannya adalah hanya ikan selayang sahaja. Anda bukan tak boleh guna ikan lain, tapi nanti tak kena dengan cara orang Terengganu masak pula.

Bagi kuah mentah biasanya ia dibuat dengan menggunakan santan yang diharong (dicampur dengan air panas) sahaja tanpa dimasak dan dicampurkan dengan lada hitam, bawang dan isi ikan. Kuah mentah selalunya tak tahan lama. Jadi ia dihidangt bila anda ingin makan sahaja tanpa simpan pada waktu yang lama.

Kuah masak pula, ia dimasak menggunakan rempah dan rasanya lebih pedas sedikit. Laksa Terengganu juga dimakan bersama ulam-ulaman dan dihidangkan dengan garam, belacan dan cili boh. Kalau tiada ketiga-tiga bahan ini, kira tak lengkaplah menu laksa Terengganu ni. Jadi anda kena pastikan ia ada sewaktu dihidangkan dan makan bersama untuk  merasai kesedapannya! Cara orang Terengganu makan laksa pula dengan tangan tau, bukan dengan sudu. Hihi.